Friday, November 28, 2008

Pengalaman Saya Naik Bas

Korang biasa naik bas untuk jarak jauh tak? Maksud aku, macam balik kampung kee. Alaa, bas express tuu. Tunggu kat Pudu, belah bawah tu, bas sampai, naik ramai-ramai, sebelum naik doa dulu, mintak-mintak di luruskan perjalanan dapat duduk sebelah awek cun. Korang ok tak kalo naik bas macam ni. Gua tak ok.

Semasa aku zaman rumaja dulu, awal 90 an, aku jarang balik kampung naik bas. Aku lagi prefer naik motor. Tak kira lah, kapcai pun kapcai lah, janji tak naik bas. Kampung aku takde lah jauh sangat, dalam 200 km je dari tempat aku belajar. Naik motor dalam 3 jam. Naik bas mau jejak 5 jam baru sampai ke muka pintu rumah. Aku tak suka naik bas ni bukan hapa, aku dari kecik memang jenis mabuk kalo naik bas nih. Naik dari Pudu belum sampai Jalan Tun Razak aku dah nak muntah. Belum kira masuk highway lagi.

Tekanan perasaan tau kalau rasa macam nak mabuk, tapi tak boleh nak memabukkan diri ni. Macam-macam petua dicadangkan kawan-kawan aku untuk mengelak mabuk ni. Ada yang kata sumbat batu kecik dalam pusat lah, ada yang kata bawak getah beku yang orang menoreh tu, kalau rasa nak muntah, cium, insyallah mujarab. Mana yang skema tu suruh bawak minyak cap kapak lah, suruh makan gula hacks lah. Tapi semua petua tu tak jalan untuk aku. Memang mabuk tahap tegar punya. Yang paling lahanat sekali, ada yang suggest kalau rasa macam nak mabuk nih, cari lah apa benda pun pegi sumbat lubang idung belah kiri, supaya proses pernapasan berlaku dengan lubang idung belah kanan sahaja, dan aliran tenaga dalaman kita menjadi seimbang, dia kata petua dapat dari buku ‘permata yang hilang’. Ntah hapa hapa ntah. Tak signifikan langsung.

Pernah sekali, sebelum naik bas aku tak ambik sarapan. Hipothesis aku masa tu kalau perut kosong maka nya takde lah muntah tu, ye tak. Bijak aku nii. Haramm. Kalau nak muntah tu muntah jugak, tak kira perut ada isi ke perut kosong. Mau tergeliat usus, nak pecah hempedu, muntah jenis tak keluar apa ni, keluar angin saja. Ada rasa macam urat bawah kelengkang macam kena rentap, nak putus. Yaa ampunn, sakit dia, tuhan aje yang tahu. Hanya yang pernah rasa aje yang tahu penangan dia. Lepas tu jalan pun terkangkang-kangkang.

Aku pernah, 5 minit sebelum sampai ke stesen bas yang di tuju, selepas ber jam-jam menahan rasa nak muntah, sekali itu cecair muntah sudah sampai kat mulut. Aku terpaksa cerut bibir aku dengan tangan, muncung bibir terjuih, pipi mengelembung tahap maksima, mata siap merah berair. Satu bas tengok aku, lawak sarkas jenis apa kah ini. Aku buat tak paham, korang bukan memahami situasi apakah yang aku hadapi saat ini, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Berhenti aje bas, aku lari masuk toilet. Peh, puas hati aku. Lega. Yang pelik tu soon after muntah, semua rasa pening, loya, sakit urat, sekelip mata terus hilang. Pelik betul lah aku kat fenomena mabuk naik bas nih.

Mabuk masa naik bas jugak kadang-kadang boleh mencerminkan tahap ekonomi seseorang. Ada sorang kawan aku, satu hari kelas dia ada trip. Jauh jugak lah, tiga ampat jam naik bas. Untuk pengetahuan, majoriti kawan aku masa student semuanya sengkek, kata orang, sengkek tahap cipan punya, jenis satu batang rokok isap 5 orang. Termasuklah kawan yang nak pergi trip ni. So pagi-pagi buta berangkat lah kawan aku ni bersama rakan sekelas dia ke destinasi yang dituju. Sampai saja ke sana, bas belum betul-betul berhenti, kawan aku ni sudah lari ke pintu depan dan sudah muntah ngam-ngam atas tanah depan tangga bas. Lohh! Masyallah. Meggi semata yang keluar, takde perencah sampingan langsung, telur kee, sawi ropol kee, bawang kecik kee. So kantoi lah dia masa tu, seluruh kelas tau dia seorang yang tengah miskin kederat, sekadar sarapan meggi kosong aje dia pagi tu.

Itu lah pengalaman saya kalau naik bas. Dolu-dolu. Sekarang ni, tau dahh, kalo rasa kena naik bas jauh-jauh nih, pegi aje lah farmasi tu, beli pil travel sickness, RM2 jee sepeket. Tak payah pakai petua-petua pelik, minum air jampi lah, semata nak elak mabuk. Bodoh gaban aku masa dulu, nama aje masuk unibersiti.